Ahad, 11 Disember 2022

Karnival HIP & STEM SK Penjom 2022

 

Pada 7 Disember 2022 (Rabu) yang lalu, Kelab Robotik SK Wan Ibrahim telah menyertai Highly Immersive Programme (HIP) and Science, Technology, Engineering & Mathematic (STEM) Carnival 2022 anjuran SK Penjom. Karnival Peringkat Daerah Lipis ini turut juga disertai oleh beberapa sekolah lain.

Terima kasih kepada Encik Borhan bin Long, Guru Besar SK Penjom kerana sudi menjemput Kelab Robotik SKWI untuk sama-sama menjayakan karnival ini.

Semoga karnival yang dianjurkan ini dapat memberi impak tinggi terutama dari segi kejayaan membudayakan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid, guru-guru, staff sekolah dan ibu bapa.

Sabtu, 10 Disember 2022

Majlis Persaraan & Pertukaran 2022

 

Pada 8 Disember 2022 (Khamis) telah berlangsung Majlis Persaraan Cik Zainab binti Abd Hamid dan Puan Rosmina binti Ab Kadir. Majlis ini diadakan di sekolah bagi memberi peluang murid-murid meraikannya.


Cik Zainab binti Abd Hamid bersara pada usia 56 tahun. Beliau telah berkhidmat selama 29 tahun sebagai guru di dua buah sekolah. Sekolah pertama beliau ialah SK Kuala Kenong. Hanya 5 tahun Cikgu Zainab bertugas di sekolah ini. Selebihnya beliau menabur bakti di SK Wan Ibrahim.

Puan Rosmina binti Ab Kadir bertugas sebagai PPM Prasekolah di SK Wan Ibrahim. Beliau baru saja bertukar dari SK Penjom ke sekolah ini. Usia perkhidmatan beliau baru mencapai 9 bulan. Puan Rosmina memilih untuk bersara awal iaitu pada usia 53 tahun.

Video ringkas majlis persaraan Cik Zainab dan Puan Rosmina.

Pada sebelah petang pula bertempat di Star Well Hotel, Kuala Lipis turut diadakan majlis pertukaran Ustazah Rohayati binti Hussin ke SJKC Penjom dan Puan Fadilah binti Azmi ke SK Clifford.

Puan Fadilah binti Azmi adalah PPM Pendidikan Khas yang bertukar ke SK Clifford sebagai PPM Prasekolah.

Video ringkas Majlis Persaraan dan Pertukaran Guru dan Staff AKP SK Wan Ibrahim 2022.

Kepada Cik Zainab binti Abd Hamid, Puan Rosmina Ab Kadir, Ustazah Rohayati Hussin dan Puan Fadilah Azmi, pihak sekolah ingin merakamkan jutaan terima kasih atas sumbangan serta pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang berkhidmat di sekolah ini. Selamat bersara dan semoga kekal sihat serta berbahagia bersama keluarga.

Selasa, 6 Disember 2022

Program Memperkasa Guru DG48 (Sekolah Rendah)

 
Pihak JPN Pahang telah merangka satu projek bagi memperkasakan guru-guru gred DG48. Projek ini dikenali sebagai Cakna Data Peduli Insan (CDPI). Projek ini akan dilaksanakan mulai tahun 2023 nanti.

Pada 2 Disember 2022, semua Pengetua dan Guru Besar seluruh negeri Pahang telah dipanggil ke Dewan Auditorium Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) untuk diberi taklimat berkaitan projek tersebut.

Tuan Guru Besar sedang memberi taklimat kepada guru-guru terlibat berkaitan program Memperkasakan Guru DG48 melalui projek Cakna Data Peduli Insan.

Guru-guru DG48 ini diberi tugasan membimbing 4 orang guru. Mereka akan mengadakan sesi Bimbingan Instruksional dan Dialog CDPI. Bimbingan secara berkala ini akan memberi tumpuan kepada PdP guru dan pencapaian murid-murid.

Ahad, 4 Disember 2022

Taklimat Keahlian dan Kebajikan Yayasan Guru Malaysia Berhad

 
Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah hadir ke SKWI pada 1 Disember 2022 yang lalu bagi mengadakan taklimat berkaitan keahlian dan kebajikan. Taklimat diadakan bermula jam 1.00 tengah hari.

Cikgu Ishak bin Ismail, Pengurus YGMB sedang menyampaikan taklimat.

Semoga taklimat ini memberi manfaat kepada guru-guru dan staf AKP.